Hilai tawa si kecil saat bermain pasir di tepi pantai cukup menghiburkan. Senyuman puas yang terukir di bibir mereka menjadi detik cukup indah kepada ibu bapa.
Hilang segala keletihan dek terperuk di hutan konkrit dan dibebani tugasan kerja yang bagaikan tiada penghujung.
Bercuti bersama keluarga sangat baik untuk memulihkan emosi dan ikatan kekeluargaan. Namun, kekangan masa dan kos percutian yang tinggi di dalam negara membuatkan ramai terpaksa menangguhkannya.
Ramai juga memilih bercuti di luar negara kerana berpendapat kosnya lebih rendah berbanding bercuti di dalam negara.
Hakikatnya, perancangan bijak membuatkan bercuti di dalam negara lebih murah dan selesa.
Jom semak tip melancong di dalam negara yang menguntungkan!
Jangan bercuti ketika waktu puncak
Untuk memperoleh percutian lebih murah dan tenang, elak bercuti ketika waktu puncak iaitu pada musim cuti sekolah, perayaan atau hujung minggu.
Ketika itu, harga bilik, penerbangan dan hampir semua perkhidmatan terutama di destinasi pelancongan popular lebih mahal daripada biasa.
Memilih waktu bukan puncak sangat menguntungkan kerana ia lebih murah, malah anda tidak perlu bersesak menyebabkan percutian lebih tenang dan mendamaikan.
Bercuti di destinasi kurang dikunjungi ramai
Memilih destinasi kurang dikunjungi menawarkan keistimewaan tersendiri terutama dari segi harga dan perkhidmatan.
Di negara ini, banyak destinasi menarik, tetapi kurang dikunjungi terutama mereka yang ingin bercuti bersama keluarga dan kanak-kanak.
Apa kata anda menggunakan peluang itu dengan membawa keluarga. Yang pasti, anda bebas melakukan sebarang aktiviti diingini.
Tempah penginapan lebih awal
Menempah penginapan awal bukan saja lebih murah, malah dapat mengelak masalah hotel penuh terutama pada musim cuti.
Dengan kecanggihan teknologi, aplikasi dan laman enjin carian hotel yang pelbagai memberi peluang kepada anda memilih hotel mengikut bajet.
Hanya bayar sedikit deposit, anda sudah ada lokasi penginapan di destinasi diingini. Menariknya, jika rajin mencari, anda berpeluang mendapat diskaun hebat. Pastinya ia menguntungkan bukan?
Ketahui waktu terbaik mengunjungi destinasi percutian
Walaupun Malaysia bukan negara empat musim, kita mempunyai musim tengkujuh dan panas.
Musim tengkujuh biasa dialami sekitar November hingga Mac setiap tahun. Saat ini, angin kuat dan hujan lebat melanda pantai timur Semenanjung. Ketika itu bercuti di pulau atau melakukan aktiviti pantai dilarang.
Jika ingin berkelah di pantai pada waktu itu, anda boleh memilih pantai barat.
Menaiki pengangkutan awam
Bercuti menggunakan kereta sendiri memudahkan anda bergerak. Namun, menggunakan pengangkutan awam juga punya keseronokan serta pengalaman menarik tersendiri.
Menaiki bas atau terbaru perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dengan masa perjalanan lebih pantas mendekatkan kita dengan negeri yang menjadi persinggahan.
Kemudahan di dalam ETS seperti kantin, surau, tandas dan televisyen memberi keselesaan. Yang pasti, tiada kesesakan lalu lintas perlu ditempuhi ketika dalam perjalanan.
Rasai keseronokan aktiviti masyarakat tempatan
Adat dan budaya sesuatu tempat berbeza. Ini peluang anda mencuba perkara baru dan pelajari budaya masyarakat setempat.
Setiap negeri ada sajian tersendiri dan aktiviti yang hanya dilakukan di tempat itu. Ambil peluang ini untuk merasai keenakan hidangan tempatan yang enak itu.
Pada masa sama, sertai aktiviti penduduk tempatan yang bukan saja membuatkan percutian anda seronok, malah menyimpan kenangan manis yang berharga.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/node/175295