Hantu Melayu, hantu Cina dan hantu Jepun kini menjadi tarikan utama pengunjung ke Cool Ghost Museum di Lebuh Melayu, Georgetown, Pulau Pinang.
Bagi yang gemarkan ilusi dan mahu ke tempat seperti berada di dunia lain, Muzium Lima Dimensi (5D) Phantamania di Lebuh Victoria mungkin pilihan tepat untuk anda.
Itulah keistimewaan dua daripada 45 muzium pelbagai konsep dan idea tersendiri dan mula menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara yang terdapat di Pulau Pinang.
Jika satu masa dahulu muzium hanya dianggap medium pameran bergambar, kini pelbagai inisiatif dilakukan operator bagi menunjukkan keunikan pameran mereka.
Justeru, tidak hairanlah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Pulau Pinang dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) dan Pusat Pelancongan Pulau Pinang (PTC) melancarkan program Menjejak Muzium bermula tahun lalu.
Program ‘Penang Museum Trail & Museum Adventure Pass’ itu memberi peluang kepada pengunjung menjejak sendiri laluan peta yang sudah disenaraikan menerusi risalah dan pas khas.
Melalui program ini, pas khas muzium dijual dengan diskaun 20 peratus bagi penyertaan empat orang pada satu-satu masa manakala 10 peratus diskaun lagi bagi pembelian cenderamata.
Program jejak muzium berkenaan adalah inisiatif kerajaan bagi menyerlahkan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan menarik selain meningkatkan jumlah pelancong melalui kempen Tahun Melawat Pulau Pinang sejak 2015 hingga 2017.
Antara peta muzium yang terdapat dalam program jejak berkenaan ialah Muzium Pulau Pinang, Pinang Muzium Peranakan, Muzium Batik, Muzium Kristal, Muzium Kamera, Muzium Toy, Muzium 3 Dimensi (3D) dan banyak lagi.
Bagi merancakkan kemasukan pengunjung ke negeri ini, Pengarah Tourism Malaysia Pulau Pinang Mazlan Araju berkata, pengusaha premis berkonsepkan tarikan pelancongan perlu meningkatkan mutu perniagaan dengan idea baharu dan segar.
“Pengusaha perlu lebih kreatif seiring dengan perkembangan semasa supaya kunjungan pelancong tidak hanya tertumpu kepada makanan tempatan sahaja.
“Ia boleh mengelakkan persepsi orang datang ke Pulau Pinang hanya mahu menikmati makanan tempatan yang enak dan unik. Negeri ini sebenarnya ada pelbagai lokasi menarik dan tarikan lain perlu dikunjungi dan kita perlu mengubah persepsi ini,” katanya selepas melawat Muzium Lima Dimensi (5D) Phantamaniad dan Cool Ghost Museum, baru-baru ini.
Bercakap mengenai hantu, lembaga berwajah buruk dengan titisan darah dan anggota badan yang tidak lengkap pasti berlegar-legar di fikiran. Tidak hairanlah jika sejak kecil kita dimomokkan dengan cerita hantu tanpa kepala, suka menjerit, menangis, tanpa kaki, berpakaian putih yang terbang atau melompat terutama bagi menakutkan si kecil.
Di Cool Ghost Museum, semua ‘hantu’ ditempatkan di bawah satu bumbung mengikut kepercayaan kaum dan negara masing-masing dengan latar muzik menyeramkan.
Muzium itu dibuka bukan bertujuan menakutkan pengunjung, tetapi bagi memberi pendidikan kepada masyarakat bahawa kisah hantu yang didengar sejak kecil hanyalah rekaan orang pada masa itu bagi menjaga tingkah laku anak mereka.
Pegawai Pemasarannya, Pauline Oon berkata, antara diperkatakan ialah kemunculan puntianak dan langsuir yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu dan sering ditemui di kawasan hutan atau di atas pokok selain pocong, penanggal, orang minyak, hantu pokok pisang dan sebagainya.
Beliau berkata, masyarakat zaman itu bercerita mengenai jelmaan mengerikan mengenai hantu berkenaan supaya anak mereka tidak keluar rumah pada waktu malam.
Katanya, berikutan itu anak mereka takut keluar rumah terutama menjelang senja dan ini antara cara bagi mendisiplinkan anak ketika itu.
“Begitu juga dengan hantu dari China yang digambarkan rambut bertocang panjang serta melompat dan mangsa perlu melekatkan kertas ‘jampi’ di dahinya supaya tidak dikejar.
“Itu hanyalah watak rekaan dalam filem kerana ‘hantu’ itu sebenarnya ialah anggota tentera yang mati dalam peperangan. Mayatnya diawet dan diikat secara berdiri bagi memudahkan urusan penghantaran ke kampung masing-masing,” katanya.
Oon berkata, muzium yang dibuka setiap hari sejak Julai tahun lalu itu kini mencatatkan jumlah pengunjung sehingga 200 orang sehari dan mencecah 400 pada hujung minggu.
Beliau berkata, proses mengumpul maklumat mengenai hantu dari lima negara itu mengambil masa setahun dan kostum serta replika hantu berkenaan dibeli daripada peniaga dalam talian dari China dan Malaysia.
“Selain hantu dari Malaysia dan China, terdapat hantu dari Jepun yang terkenal dengan Ju-On, Mesir dengan mumia dan firaun serta beberapa hantu lanun, labu dan tengkorak dari negara barat.
“Kami merancang menambah dekorasi serta jumlah hantu seperti dari Arab, Thailand dan Indonesia selain mengadakan siri jelajah bagi memperkenalkan produk dan misi kami,” katanya.
Dalam pada itu, melangkah ke Muzium 5D Phantamania tidak ubah seperti berada di dunia lain, malah istana pelik penuh dengan ilusi itu sesuai dikunjungi jika mahu mencipta pengalaman bersama keluarga dan kenalan.
Muzium yang dibuka sejak Julai lalu itu mempunyai 23 tarikan dan berjaya menarik kunjungan kira-kira 900 pengunjung sebulan dengan 70 peratus daripadanya pengunjung dari Timur Tengah.
Pegawai Pembangunan Perniagaan Phantamania Hazlami Rosli berkata, terdapat tarikan menguji minda dan memerlukan teknik bergambar serta kreativiti pengunjung bagi mendapatkan imej gambar menarik.
Beliau berkata, antara tarikan Phantamania ialah ‘Confusing Maze’, ‘Interactive Fun’ ‘Farnee Video’, ‘Etheral Form’ dan bahagian sejuk umpama di kutub utara iaitu ‘Freezamania’.
Menurutnya, di pintu masuk, kepingan cermin yang hanya memaparkan imej diri sendiri cukup merimaskan, tambahan pula pengunjung perlu cuba mencari jalan keluar malah jika tersilap langkah, kepala pasti terhantuk di cermin berkenaan.
“Ia antara pengalaman lucu dan gelagat pengunjung di sini, malah ada mula cemas ketika tidak dapat mencari jalan keluar pada hal tidak perlu risau kerana ada petugas yang boleh membantu.
“Paling menjadi tumpuan ialah di Freezamania, terdapat bilik dilengkapi replika perabot seperti ais seolah-olah berada dalam filem animasi Frozen.
“Kami sedang mencari lokasi sesuai di Johor, Melaka dan Kuala Lumpur bagi membuka cawangan muzium ini, namun semuanya masih dalam perancangan,” katanya.